PRINSIP BERKEKALAN WAKAF MENURUT PERUNDANGAN ISLAM
Para sarjana Islam mempunyai pelbagai pandangan dalam
menjelaskan berkaitan elemen kekal sesuatu perwakafan. Majoriti dalam kalangan
fuqaha’ termasuk juga mazhab Zahiri dan Syiah Imamiyyah bersetuju bahawa elemen
kekal adalah merupakan syarat mutlak sesuatu perwakafan melainkan mazhab Maliki
dan pandangan Abu Hanifah yang tidak mensyaratkan elemen kekal bahkan
mengharuskan wakaf dibuat secara bertempoh (Abu Zahrah, 1959: 74).
Perbincangan fiqh berkaitan elemen kekal boleh dilihat
dalam tiga keadaan
iaitu merangkumi:
(1) berkekalan dari sudut tempoh masa perwakafan,
(2)berkekalan dari sudut harta yang diwakafkan,
(3) berkekalan dari sudut manfaat wakaf yang disalurkan
kepada benefisiari yang tidak akan habis.
Yang dimaksudkan sebagai berkekalan dari sudut tempoh masa
ialah apabila sesuatu harta telah diwakafkan, maka harta tersebut hendaklah
menjadi harta wakaf selama-lamanya dan ianya tidak boleh dibatasi dengan masa
(Abu Zahrah, 1959: 75). Oleh yang demikian, mazhab Shafi‘i berpandangan elemen
kekal adalah menjadi syarat mutlak kepada harta wakaf tanpa
terikat dengan masa berdasarkan kepada niat/tujuan wakaf yang dibuat atas dasar
qurbah.
Manakala as-Sharbini pula berpandangan syarat kekal itu
adalah mengikat tanpa melihat kepada tujuan wakaf sama ada melibatkan qurbah
atau sebaliknya. Ianya juga turut dipersetujui oleh Ibn Hanbal dan Ibn Qudamah.
Di dalam al-Mugni, Ibn Qudamah membuat penambahan dengan menjelaskan bahawa
tidak sah sekiranya wakaf tersebut mengikat syarat seperti jual beli, dihibahkan
dan dikembalikan semula kepada pewakaf kerana bertentangan dengan prinsip
wakaf, makala mazhab Zahiriyyah pula menyatakan walaupun terdapat syarat jual
beli semasa wakaf dilakukan, wakaf tersebut adalah sah dan syarat adalah
terbatal sepertimana yang dinyatakan oleh Ibn Hazm di dalam kitab al-Muhalli.
Muhammad Ibn Hasan pula menegaskan bahawa elemen kekal
adalah syarat utama dalam mewujudkan wakaf dan perlu disebutkan di dalam sighah
wakaf sama ada secara lafaz ataupun tersirat. Abu Yusuf juga mempunyai pandangan
yang sama tetapi tidak perlu ditekankan di dalam sighah wakaf (Abu Zahrah,
1959:75). Hal ini berbeza dengan pandangan Abu Hanifah dan Mazhab Maliki yang
tidak mensyaratkan elemen kekal dalam sesuatu perwakafan bahkan mereka
berpandangan bahawa sah sesuatu perwakafan
yang dibuat secara bertempoh.
Keadaan kedua elemen kekal adalah dilihat melalui
perspektif harta yang diwakafkan. Dalam hal ini, terdapat beberapa percanggahan
pandangan dalam kalangan fuqaha’ terutama melibatkan harta wakaf (subject
matter). Para fuqaha’ mazhab bersepakat berkaitan kesahan harta tidak alih
(immovable) seperti tanah, masjid dan rumah untuk dijadikan sebagai
harta wakaf dengan mengambil kira sifat harta tersebut yang bersifat kekal dan
tidak boleh dipindah. Ianya membolehkan manfaat daripada harta tersebut untuk
dimanfaatkan secara berterusan. Walaupun begitu, para fuqaha’ mempunyai
pandangan yang
berbeza dalam membincangkan berkaitan dengan wakaf harta
alih (movable) (Siti Mashitoh, 2007: 65-66).
Menurut Abu Yusuf, mewakafkan harta alih secara sendiri
adalah tidak sah kecuali jika membabitkan kuda dan peralatan perang berdasarkan
kepada dalil perwakafan Khalid Ibn al-Walid. Manakala, Muhammad Ibn Hassan mempunyai
pandangan yang berbeza di mana beliau berpandangan bagi
mengesahkan perwakafan sesuatu harta perlu juga melihat
kepada ‘uruf atau kebiasaan masyarakat setempat (Siti Mashitoh, 2007,
65). Oleh yang demikian, wakaf dalam harta-harta yang boleh dijadikan
barang bermuamalah seperti kapak, penyodok termasuk dinar dan dirham,
kain kapan dan periuk kawah adalah diharuskan. Justeru itu, fuqaha’ dari
kalangan mazhab shafi’i, mengharuskan perwakafan harta alih termasuklah
harta yang boleh dijual beli selagi mana manfaat harta tersebut boleh
dinikmati secara berterusan. Selain daripada itu, elemen kekal juga
boleh dirujuk melalui perspektif penerima manfaat wakaf. Mustafa
al-Khin, Mustafa al-Bugho dan A’li Sharbaji menyatakan pandangan tafsiran kekal
kepada ‘kekal dimanfaatkan’ yang boleh direalisasikan menerusi tempoh kekal
secara relatif dan tidak semestinya kekal selama-lamanya. Apa yang penting
adalah harta wakaf itu boleh menghasilkan sesuatu atau hasilnya menyamai
sesuatu upah (Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugho dan A’li Sharbaji, 2004: 541).
Dalam hal ini kekal di manfaatkan ini juga boleh dilihat dalam konteks penerima
wakaf yang tidak akan terputus sebagai contoh fakir miskin.
Mazhab Shafi‘i
mengharuskan perwakafan kepada penerima wakaf yang tidak terputus dengan
melihat melalui dua (2) keadaan iaitu keadaan pertama, mewakafkan harta kepada
penerima yang tidak terputus seperti fakir miskin, para mujahidin, penuntut
ilmu dan seumpamanya. Dan yang kedua mewakafkan harta kepada penerima yang
terputus seperti seorang lelaki tertentu dan kemudiannya diwakafkan pula kepada
benefisiari yang tidak terputus misalnya fakir miskin (Shirazi, t.t.: 576).
Manakala mazhab Hanbali pula mengharuskan wakaf yang terputus benefisiarinya
dimanfaatkan oleh orang yang dekat dengan pewakaf dengan bersandarkan kepada
dalil:
“Sedekah kamu kepada orang miskin mendapat pahala sedekah
sedangkan sedekah kamu kepada kaum kerabatmu mendapat pahala sedekah dan pahala
menyambung silaturrahim.”
Begitu juga dengan
pandangan Monzer Kahf yang merupakan seorang sarjana kontemporari telah
mendefinisikan semula maksud wakaf sebagai:
“As the perpetual dedication of benefits of a valuable, the
value of which is amortized subsequently, and its proceeds or revenue are later
spent on walfare of the named beneficiaries.”
Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim menggunakan
matan yang berbeza dengan merujuk kepada hadith yang diriwayatkan oleh Zainab,
isteri kepada ‘Abd Allah bin Mas‘ud yang telah bertanyakan kepada Rasulullah
SAW berkenaan sedekah kepada suaminya dan anak-anak yatim yang menjadi
tanggungannya. Maka Rasulullah SAW menjawab: (الصدقة وأجر القربة أجر، أجران هلام
(yang bermaksud: “mereka mendapat dua pahala iaitu pahala kerabat dan pahala
sedekah..”
Definisi ini membenarkan harta atau objek wakaf bersifat
sementara (temporary) dan memberikan penegasan kepada sifat berkekalan ke atas
nilai manfaat dari harta atau aset yang diwakafkan. Manfaat tersebut akan
diagihkan kepada aktiviti kebajikan sepertimana yang dituntut oleh pewakaf.
Contoh harta atau objek yang bersifat sementara adalah seperti wang tunai,
saham dan sebagainya (Mohd Tahir & Abd Hamid, 2006: 27-38). Justeru itu,
dapat diperhatikan bahawa para fuqaha’ bersetuju bahawa elemen kekal perlu diwujudkan
sebagai salah satu prinsip wakaf. Akan tetapi mereka mempunyai pandangan yang
berbeza dalam menentukan sama ada elemen kekal boleh dianggap sebagai syarat
sah wakaf ataupun bukan suatu syarat sah.
CWA Shah Alam Tremendous Wealth Advisors
Principal Shah Alam Tremendous Wealth Advisors
Wanna join us? Feel free to reach and contact us on this below number:
Mokhtar-0123210269
Atiqah -0123372505
Comments
Post a Comment